RENCANA KHAS

 SEJARAH RINGKAS PENDIDIKAN AGAMA DI PULAI CHONDONG


Setelah Haji Abdul Samad meninggal dunia pada tahun 1874  (1290 hijrah),  usaha-usaha mengembangkan agama Islam kepada penduduk-penduduk Pulai Chondong yang diasaskan oleh Allahyarham itu diteruskan oleh anakna Haji Muhammad Arshad bin Haji Abdul Samad dengan bertambah jaya lagi.

Pada tahun 1888 (1306 hijrah),  suatu peristiwa sedih telah berlaku iaitu surau yang didirikan oleh Haji Abdul Samad yang menjadi pusat pendidikan agama pada masa itu dibakar oleh penduduk Pulai Chondong yang bernama Awang Sekik  (gelarannya:  Pak Munah). Kita sekali lagi bernasib baik,  Menara Masjid Pulai Chondong itu terselamat dari kebakaran tersebut.  Sebuah surau yang baru didirikan dengan seberapa segera untuk memenuhi keperluan penduduk pada masa itu.

Haji Muhammad Arshad dikatakan amat rapat dengan baginda Sultan,  terutamanya dengan Sultan Muhammad IV,  iaitu sebagai lanjutan kepada hubungan yang telah terjalin semenjak bapanya lagi.  Hubungan yang rapat dengan pihak atasan ini menambahkan masyhor nama Haji Muhammad Arshad dan tidak syak lagi memberi kesan kepada perkembangan pelajaran agama pada masa itu.  Pada akhir hayatnya iaitu pada tahun 1911 (1330 hijrah),  berpuluh-puuh buah pondok telah terdiri berhampiran dengan surau sejauh tiga empat rantai di sepanjang Sungai Pulai Chondong.

Setelah kedatangan Inggeris dan apabila Sekolah Melayu Pulai Chondong dibuka pada tahun 1924,  corak pendidikan secara pondon tidak lagi popuar.  Walau bagaimana pun,  pelajar hukum-hukum agama dan mengaji Quran terus diajar oleh Haji Muhammad bin Muhamad Arshad  (cucu Tok Pulai Chondong)  dan kemudian disambung oleh Haji Hamzah bin Hami Muhamad (cicit Tok Pulai Chondong).

Pada tahun 1945 Haji Hamzah telah membuka sebuah sekolah Arab di Masjid Pulai Chondong di bawah pimpinan Encik Ibrahim Baba bin Husin.  Selama kira-kira tiga tahun mula-mula sekolah Arab itu amatlah maju dan mendapat sambutan yang baik.  Dengan berkat kerjasama penduduk-penduduk Pulai Chondong,  terutamanya Allahyarham Encik Abdul Rahman bin Wanik yang bermurah hati mengkhairatkan sebidang tanah untuk tapak sekolah tersebut dan Haji Shamsuddin bin Mahmud (pada masa itu Penggawa Daerah Pulai Chondong)  yang telah memberi bimbingan dan sokongan kuat,  sekolah Arab itu telah berjaya mendirikan sebuah bangunan sementaranya di tepi jalan masuk ke Kampung Alur Melaka.  Tidak berapa lama kemudian sekolah Arab itu diterima oleh Majlis Agama Islam dan diberi nama Sekolah Agama Majlis Agama Shamsul-Maarif.

Pada tahun 1948,  sebuah sekolah rakyat telah dibuka di Kampung Galang dengan dipimpin oleh Encik Muhamad Noor bin Yusoff.  Pada tahun 1950 sekolah itu diterima oleh kerajaan sebgai sekolah hondong.   Pada tahun 1948 juga pendidikan cara pondok telah dibuka semula di Pulai Chondong  (di Kampung Galang)  oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Ghazali bin Haji Ismail.  Ketiga-tiga institusi  pendidikan yang berbeza corak ini menyaingi satu sama lain dan kesan yang kuat dirasai oleh sekolah Arab Shamsul Maarif.   Pada tahun 1959  Sekolah Arab Shamsul Maarif hampir-hampir menemui ajalnya apabila timbul cadangan hendak menarik semua ustaz-ustaz yang dibayar gaji oleh Majlis Agama ke Machang kerana kononnya penduduk Pulai Chondong tidak berkemampuan hendak menggantikan bangunan sementara yang hampir roboh itu.   Untuk mengatasi masalah ini sekolah Arab Shamsul-Maarif dicadangkan dipindah ke Kampung Galang di mana sebidang tanah seluas satu ekar untuk bangunan sekolah tersebut ditawarkan dengan percuma oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Ghazali bin Haji Ismail.  Cadangan itu ditolak oleh penduduk Pulai Chondong dalam suatu mesyuarat yang diadakan pada akhir tahun 1959.  Pada tahun1960,  dengan berkat usaha penduduk-penduduk Pulai Chondong,  Sekolah Arab Shamsul-Maarif telah berjaya mendirikan sebuah bangunan batu yang hingga sekarang masih digunakan.

Dalam masa Sekolah Arab Shamsul Maarif menentukan hidup matinya,  pendidikan agama secara terus dijalankan di madrasah-madrasah Kampung Galang dan Kampung Cherang,  dan juga di semua surau-surau dalam daerah Pulai Chondong.

Pada tahun 1965 apabila Sekolah Menengah Rendah Pulai Chondong dibuka,  Sekolah Arab Shamsul Maarif dan pendidikan secara pondok sekali lagi mendapat saingan yang hebat.  Tetapi dengan perubahan sistem pelajaran agama,  di mana murid-murid Sekolah Arab Majlis Agama juga boleh mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran,  Sekolah Arab Shamsul Maarif terus bergerak berganding bahu dengan Sekolah Menengah Pulai Chondong hingga sekarang dan akan terus berkhidmat kepada penduduk-penduduk Pulai Chondong.


Dipetik dari tulisan RIWAYAT HIDUP HAJI ABDUL SAMAD BIN FAQIH HAJI ABDULLAH (Tok Pulai Chondong),  susunan HAJI ABDUL SAMAD BIN MAHMUD  (Generasi Keempat).

This free website was made using Yola.

No coding skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola