PANDANGAN & PENDAPAT

 PERANAN DAN KEDUDUKAN HAJI ABDUL SAMAD DALAM MASYARAKAT


Peranan Haji Abul Samad dalam bidang pelajaran dan pendidikan,  dan kedudukannya dalam masyarakat haruslah dilihat dalam kontek masyarakat pada zamannya dalam mana sebilangan besar penduduk adalah buta huruf dan sistem nilai mereka masih bersifat tradisional tulin.

Selaku Imam Mukim,  tugas Haji Abdul Samad yang paling utama ialah mempastikan bahawa tiap-tiap orang anak mukimnya mengetahui fardhu ‘ain dan memimpin anak  mukimnya dalam segala upcara keagamaannya,  misalnya mengetuai sembahyang-sembahyang,  menyempurnakan pengkebumian,  menjalankan upacara nikah kahwin dan sebagainya.

Oleh kerana institusi qadhi dan institusi-institusi agama yang lain belum lagi wujud pada ketika itu,  Imam juga menjalankan fungsi-fungsi lain yang ada hubungan dan kena mengena dengan pengajaran agama dan hukum-hukum Islam,  misalhnya,  menyelesaikan pembahagian pusaka,  membicarakan perselisihan suami-isteri,  mengeluarkan fatwa kepada anak mukimnya,  memberi nasihat kepada orang-orang yang hendak menunaikan fadhu Haji dan lain-lain lagi.

Suatu hakikat yang harus disedari ialah pada zaman tradisional,  Imam Mukim adalah dianggap seorang yang paling terpelajar di dalam mukimnya dan dipercayai oleh pemerintah.   Seorang Imam itu,  selain daripada menjalankan tugas-tugasnya yang berhubung dengan agama juga memainkan peranan dalam bidang pentadbiran.

Sungguhpun jawatan  Tok Kweng telah wujud pada ketika itu,  tetapi jawatan itu tidak penting dan efektif,  dan Imam Mukim masih lagi dianggap sebagai golongan pemerintah atau pentadbir dalam mukimnya hingga akhir abad kesembilan belas.

Oleh yang demikian,  Imam Mukim adalah seorang yang bertanggungjawab dalam pelbagai perkara yang biasa dijalankan sekarang ini oleh beberapa personnel.  Surau yang satu-satunya tempat perhimpinan orang ramai pada zaman tradisional bukan sahaja merupakan tempat ibadat tetapi juga sebagai pejabat dan dewan di mana segala masalah penduduk dalam mukim itu dibincang dan diputuskan.

Haji Abdul Samad boleh disifatkan sebagai pengasas pendidikan agama di Pulai Chondong.  Sebagai guru agama,  tugas Allahyarham yang besar ialah mengembangkan pengajaran agama Islam dan mendidik budi pekerji penduduk-penduduk Pulai Chondong.   Tugas ini jauh lebih pening daripada yang kita fikirkan sekarang bila mengingatkan bahawa proses penyebaran dan perkembangan agama Islam di negeri kita masih dalam peringkat awal dan kemudahan percetakan (seperti kitab, kertas dan lain-lain) dan kemudahan-kemudahan pendidikan yang lain,  jika ada,  amat sedikit dan sukar didapati.  Dalam keadaan serba kurang ini,  Haji Abdul Samad dikatakan telah mempunyai ramai murid yang terdiri dari penduduk-penduduk Pulau Chondong sendiri dan orang-orang dari kawasan luar Pulai Chondong,  dan telah berjaya menghasilkan beberapa orang alim yang masyhor.  Asas pendidikan agama yang diletakkan oleh Haji Abdul Samad itu diteruskan dengan jayanya oleh anak cucunya.

Tidak syak lagi bahawa Haji Abul Samad dipandang mulia dan amat dihormati oleh penduduk-penduduk Pulai Chondong dan dianggap orang yang paling terkemuka sekali pada masa itu,  kerana Allahyarham memenuhi hampir semua faktor penentuan status pada zaman tradisional.   Keupayaan Haji Abdul Samad mendirikan Masjid Pulai Chodong itu menunjukkan dengan jelas bahawa:

i.              Haji Abdul Samad mempunyai pengikut yang ramai dan pengikut-pengikutnya bekerjasama antara satu sama lain di bawah pimpinannya.

ii.             Haji Abdul Samad mempuyai pengaruh yang kuat dan amat disegani oleh penduduk-penduduk Pulai Chondong.

iii.            Haji Abdul Samad mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam reka bentuk.

Di antara beberapa perkara yang menyebabkan Haji Abdul Samad mendapat kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat ialah:

i.              Haji Abdul Samad ialah seorang Imam.  Kedudukan seorang Imam pada zaman tradisional adalah lebih penting daripada kedudukan Tok Kweng.  Haji Abdul Samad bolehlah dianggap sebagai pemimpin tempatan.  Oleh kerana perhubungan dengan ibu negeri adalah sukar,  perhatian penduduk begitu banyak tertumpu kepada pimpinan tempatan.

ii.             Haji Abdul Samad ialah seorang alim dan seorang guru agama.  Allahyarham dianggap orang yang terpelajar pada masa itu dan merupakan seorang elite dalam masyarakatnya.   Namanya masyhor keseluruh negeri Kelantan dan Allahyarham dikunjungi oleh orang ramai termasuk pembesar-pembesar negeri kerana berbagai-bagai tujuan walaupun Haji Abdul Samad sendiri tidak ingin dikunjungi sedemikian rupa.

iii.            Bapanya,  Faqih Haji Abdullah ialah seorang alim.   Beliau mendapat gelaran ‘Faqih” (Jurisprudent) kerana kebijaksanaannya dalam ilmu fiqh.  Datuknya,  Haji Hashim ialah Imam Kampung Bukit  (dikenali sebagai Imam Bukit)  dan juga seorang alim.  Beliau digelar Datok Soraf kerana kealimannya dalam ilmu Soraf (Etymology).  Jadi Haji Abdul Samad adalah dari keluarga orang yang terkemuka.

iv.            Haji Abdul Samad dianggap orang yang mula-mula membuka kampung Pulai Chondong.  Allahyarham dikenal jauh dan dekat  sebagai Tok Pulai Chondong.  Kampung-kampung lain dalam Daerah Pulai Chondong sekarang,  kecuali Kampung Bukit,  mendapat nama masing-masing terkemudian dari nama Pulai Chondong.

v.             Haji Abdul Samad mempunyai bilangan keluarga yang ramai.  Kebanyakan penduduk Pulai Chondong pada masa itu adalah bersaudara dengannya.  Oleh yang demikian,  kedudukannya sebagai Imam dan sebagai pemimpin tempatan mendapat sokongan dari sebilangan besar penduduk.

vi.            Haji Abdul Samad mempunyai hubungan yang rapat dengan bginda Sultan Muhamad II  (Tuan Senik Mulut Merah).  Allahyarham dikatakan pernah menjadi guru kepada Raja Perempuan Kelantan.  Dengan demikian secara langsung atau tidak  jawatan Imam yang dipegang oleh Haji Abdul Samad itu diiktiraf dan disokong oleh wibawa yang tertinggi.

vii.           Haji Abdul Samad mempunyai sifat-sifat peribadi yang terpuji.  Allahyarham dikatakan amat lemah lembut dan  sopan santun.  Sebagai seorang sufi,  Allahyarham sangat merendah diri dan menghormati sesama manusia.

Dengan keterangan yang di atas nyatalah bahawa Haji Abdul Samad bin Faqih Haji Abdullah adalah seorang pemimpin masyarakat yang terkemuka pada masa silam.  Jenerasi kita sekarang haruslah membuat sesuatu bgi mengabdikan namanya dan mengenangkan jasa-jasanya dalam bidang pelajaran dan pendidikan,  dan khidmatnya kepada masyarakat.


Dipetik dari  'RIWAYAT HIDUP HAJI ABDUL SAMAD BIN FAQIH HAJI ABDULAH    (Tok Pulai Chondong)'.                                              Susunan HAJI ABDUL SAMAD BIN MAHMUD. Generasi Keempat.     

PANDANGAN & PENDAPAT 1:

Tok Pulai Chondong ulama sufi berwibawa Kelantan

DIkirim oleh epondok di April 19, 2009

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DALAM buku saya yang berjudul Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara terbitan Al-Ikhlas, Surabaya, 1980, kisah Tok Pulai Chondong telah dibicarakan secara ringkas. Selain itu riwayat hidup Tok Pulai Chondong juga pernah dimuatkan dalam majalah Pengasuh terbitan Kota Bharu, Kelantan, bilangan 45 September 1979/ Syawal 1399. Selain kedua-dua riwayat tersebut terdapat beberapa penulisan oleh para pengkaji tentang ulama sufi yang berasal dari Pulai Chondong, Kelantan itu.

Penulisan yang paling lengkap dan terkini adalah yang diusahakan oleh Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof dalam kertas kerja berjudul ‘Tok Pulai Chondong: Riwayat Hidup dan Sumbangan dalam Pendidikan Islam di Kelantan’. Kertas kerja tersebut dibentang dalam Nadwah Ulama III pada 15 hingga 17 April 2006 di Kepala Batas, Pulau Pinang. Perlu juga saya sebutkan di sini bahawa nama sebenar Tok Pulai Chondong ialah Abdus Shamad. Terdapat sekurang-kurangnya dua ulama terkenal yang bernama demikian di Kelantan. Yang seorang lagi ialah Abdus Shamad yang digelar orang dengan nama ‘Tuan Tabal’.

Selain gelaran yang berbeza nama orang tua juga berbeza. Nama orang tua Tuan Tabal ialah Muhammad Salleh al-Kalantani. Beberapa orang yang bercerita tentang kedua-dua ulama tersebut tidak dapat membezakan antara keduaduanya.

ASAL USUL

Rencana minggu ini tetap merujuk kepada tulisan saya dalam buku terbitan 1980 itu, sekali gus dilengkapi dengan petikan yang dibicarakan dalam kertas kerja Nadwah Ulama III yang disebut di atas.

Nama lengkap Tok Pulai Chondong ialah Haji Abdus Shamad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim, Pulai Chondong al-Kalantani (selanjutnya disingkatkan Tok Pulai Chondong saja). Lahir semasa pemerintah Long Yunus (1762-1794) iaitu pada tahun 1207 H/1792 M.

Beliau ialah saudara dua pupu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Mengenai tulisan saya (pada tahun 1980) yang belum sempat saya bahas, tiba-tiba Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof memberikan maklumat yang lebih lengkap (pada tahun 2006) bahawa Haji Hasyim (datuknya) berasal daripada keturunan Sultan Ahmad Minangkabau, Sumatera, yang berhijrah ke Patani pada abad ke-18. Saya tidak bermaksud membantah tentang cerita ini, cuma saya masih meragukan perkataan ‘Sultan Ahmad Minangkabau’. Kemungkinan sebenarnya ialah Sutan Ahmad Minangkabau. Perkataan ‘Sultan’ dengan ‘Sutan’ mengandungi pengertian yang berbeza. Istilah ‘Sutan’ banyak digunakan pada pangkal nama orang-orang yang berasal dari Minangkabau walaupun mereka tidak memerintah dalam kerajaan.

Yang saya bicarakan pada perenggan ini adalah dipetik dan diringkaskan daripada tulisan Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof. “Setelah belajar di Patani beliau menjadi ulama, digelar orang ‘Tok Saraf’ kerana pakar dalam ilmu tersebut. Imam Hasyim mempunyai tiga anak iaitu Faqih Haji Abdullah, Faqih Ali dan Faqih Deramat. Faqih Haji Abdullah ialah ayah Tok Pulai Chondong. Akhirnya imam Hasyim, anaknya Faqih Haji Abdullah dan Wan Mek pindah ke Kelantan. Selepas imam Hasyim dan keluarganya sampai di Kelantan, mereka membuka perkampungan yang dinamakan Kampung Bukit.

“Imam Hasyim meninggal dunia di Kampung Bukit itu, selanjutnya anak beliau Faqih Haji Abdullah dilantik menjadi imam di situ. Faqih Haji Abdullah apabila meninggal dunia dikebumikan di Kampung Pisang, Perol, Kota Bharu….” Demikianlah diringkaskan daripada kertas kerja Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof.

PENDIDIKAN

Tok Pulai Chondong setelah belajar daripada ayah dan datuknya sendiri menurut pengajian sistem tradisional Patani. Beliau juga pernah belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin al-Fathani. Selanjutnya pergi ke Mekah pada tahun 1223 H/1808 M. Di sana beliau belajar kepada Tuan Guru Haji Adam. Riwayat yang sahih ramai orang menceritakan bahawa Tok Pulai Chondong ialah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Baik masih berada di Pondok Pauh Bok, mahupun setelah di Mekah, beliau bersahabat dengan beberapa orang antaranya ialah Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani (yang kemudian dikenali dengan nama Tuan Hasan Besut). Juga saudaranya Syeikh Wan Ali bin Wan Ishaq al-Fathani. Sewaktu belajar di Mekah, Tok Pulai Chondong juga bersahabat dengan Syeikh Abdul Malik bin Isa Terengganu, Syeikh Wan Musa dan ramai lagi.

Setelah menetap beberapa tahun di Mekah, Tok Pulai Chondong pulang ke Kelantan. Seterusnya Tok Pulai Chondong menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang pengetahuan iaitu usuluddin, fiqh dan tasawuf. Tidak berapa lama di Kelantan Tok Pulai Chondong berangkat pula ke Mekah dalam tahun 1256 H/1840 M melanjutkan pelajarannya kerana dirasakan bahawa beliau masih perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, Tok Pulai Chondong yang dalam bidang tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar.

Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof menulis bahawa pada tahun tersebut Tok Pulai Chondong pergi ke Mesir menziarahi makam Imam Syafie bersama sahabatnya, Tuan Hasan Besut. Kisah ini merupakan maklumat baru, dan sekali gus menggambarkan persahabatan yang sangat rapat antara Tok Pulai Chondong dengan Tuan Hasan Besut yang terkenal itu.

Masih dalam konteks ini, Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof juga menulis, “ada pendapat lain yang menyatakan bahawa Tok Pulai Chondong telah pergi ke Mekah buat kali kedua pada tahun 1278 H/1861 M bersama anaknya Muhammad Arsyad yang berusia 13 tahun. Pada kali inilah beliau telah mengambil peluang menziarahi kubur Imam Syafie.”

AKTIVITI

Makin bertambah banyak pengetahuannya di bidang tasawuf makin bertambah kuatlah Tok Pulai Chondong beramal. Sebenarnya memang sejak kecil Tok Pulai Chondong ialah seorang yang memang mempunyai ciri-ciri khusus tentang amalan itu. Pada masa tuanya beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam.

Doa yang paling sering diamalkannya ialah Hizb al-Bahri yang sanadnya bersambung dengan pengamalnya yang mula-mula iaitu Wali Allah Saiyidi Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Hizb al-Bahri telah beliau ijazahkan kepada beberapa muridnya di Mekah.

Antaranya ialah orang Arab bernama Syeikh Ahmad bin As’ad ad-Dihan. Syeikh Ahmad ad-Dihan mengijazahkan pula kepada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menulis doa tersebut dalam sebuah kitab yang diberi judul Lum’ah al-Aurad. Daripada sini ia tersebar dan banyaklah orang mengamalkan Hizb al-Bahri melalui penerimaan ijazah daripada seorang guru ke seorang guru hinggalah ke hari ini.

Aktiviti Tok Pulai Chondong yang diserlahkan oleh Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof dalam kertas kerjanya antara lain termasuk menjadi pelopor kepada pembangunan Kampung Pulai Chondong apabila beliau membuka penempatan baru yang tidak berjauhan dari Kampung Bukit, iaitu Kampung Bilal Talib.

Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah surau yang akhirnya menjadi sebuah tempat pengajian sistem pondok. Mereka yang belajar ilmu di situ datang dari pelbagai pelosok nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Patani, Terengganu, negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu sendiri dan lain-lain. Pondok Tok Pulai Chondong telah didirikan oleh Tok Pulai Chondong pada tahun 1820.

Berdasarkan tahun berdirinya pondok itu, maka para sejarawan Malaysia berkesimpulan bahawa Pondok Pulai Chondong merupakan pondok terawal di Kelantan.

Setelah Tok Pulai Chondong dilantik menjadi imam di Kampung Bukit dan berhasil membuka Kampung Bilal Talib, Tok Pulai Chondong membina pula masjid. Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof menulis bahawa “kebetulan di pinggir kampung tersebut terdapat sebuah pokok Pulai yang besar lagi condong maka Tok Pulai Chondong mengambil sempena keadaan pokok itu lalu menamakan perkampungan tersebut dan kawasan sekitarnya sebagai Kampung Pulai Chondong.

Walau bagaimanapun, masjid yang dibina tersebut telah terbakar pada 1820 M dan ia kemudian dipindahkan ke Kampung Surau iaitu tempat terletaknya masjid itu pada masa sekarang. Pada tahun 1856, masjid tersebut sekali lagi terbakar dan dengan kerjasama anak-anak mukim tempatan, Tok Pulai Chondong mendirikan sebuah masjid lain di tepi Sungai Pulai Chondong yang terletak tidak jauh dari tempat terbakarnya masjid tersebut.

Masjid yang baru didirikan ini kemudiannya dilengkapkan dengan mimbar, gendang dan menara. Sehingga kini menara Masjid Pulai Chondong masih lagi merupakan objek kemegahan tempatan yang dibina oleh Tok Pulai Chondong pada 1856.

Tok Pulai Chondong juga dilantik oleh Sultan Muhammad II sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan tentang agama Islam. Sumbangan Tok Pulai Chondong yang dapat dilihat selain mengasaskan institusi pendidikan dan pengembangan syiar Islam ialah beliau juga berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil sehingga menjadi masyarakat yang berilmu dan patuh terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya.

KETURUNAN

Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof juga mendokumentasikan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai tiga orang adik-beradik. Mereka ialah Halimah, Abd. Rahman dan Tok Pulai Chondong sendiri. Halimah iaitu yang sulung kahwin dengan orang Kubang Kiat, Kota Bharu dan selepas itu menetap di Labok yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Pulai Chondong.

Di antara tiga adik beradik itu hanya Tok Pulai Chondong yang mewarisi jejak langkah ayah dan datuknya sebagai ulama. Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong mempunyai empat orang isteri. Nama-nama mereka ialah Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha. Tok Pulai Chondong dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil manakala 12 anak

Tok Pulai Chondong terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga perempuan iaitu:

1. Haji Abdul Hamid    2. Haji Abdul Syukur     3. Haji Abdul Aziz

4. Haji Umar    5. Haji Muhammad Sai    6. Haji Taib

7. Hajah Siti Mariam    8. Haji Muhammad Arsyad    9. Haji Abdullah

10. Haji Muhammad   11. Hajah Zainab    12. Hajah Ummu Maimunah

Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof mencatatkan pula bahawa hasil perkahwinan Tok Pulai Chondong dengan Thamani memperoleh empat anak iaitu Haji Taib, Haji Abdul Syukur, Haji Muhammad Arsyad dan Haji Abdul Aziz. Anak-anak Tok Pulai Chondong yang lain tidak dapat diketahui daripada isteri-isteri beliau yang mana.

 

PANDANGAN & PENDAPAT  2: 

Tok Pulai Condong tokoh ulama Nusantara

 Written by Haspaizi Mohd Zain 

Abdul Samad Faqih terus gigih tuntut ilmu agama di Makkah walaupun dikatakan sudah layak jadi pengajar

KELANTAN bukan saja terkenal dengan kaum hawa yang mendominasi perniagaan, namun ia juga berfungsi sebagai pusat kelahiran tokoh ulama seperti Abdul Samad Faqih Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Condong.

Tok Pulai Condong adalah seorang ulama Melayu terkemuka di Nusantara yang bertanggung jawab menyebarkan syiar Islam pada zaman kegelapan masyarakat Melayu lampau.

Tokoh ini dilahirkan ketika pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada 1792. Beliau adalah saudara dua pupu Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.Beliau mendapat pendidikan daripada ayah dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian pondok tradisional Pattani dan juga belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah.

Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Adam dan ada yang mengatakan beliau adalah murid Syeikh Daud al-Fatani.

Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan dan menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang iaitu Usuluddin, Fiqh dan Tasawuf.Atas sikap ingin belajar, ulama ini sekali lagi melanjutkan pelajaran ke Makkah pada 1840 kerana berasa dirinya perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, ilmunya dalam Tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar. 

Tok Pulai Condong adalah ulama yang alim, warak dalam ilmu agama, malah doa yang selalu dipraktikkan ialah Hizbul Bahar serta berpegang kepada falsafah ‘Berhamba kepada Allah dengan sebaik hamba’.

Beliau kerap menunaikan haji dan pernah membawa anaknya, Muhammad Arshad yang berusia 13 tahun. Sewaktu menunaikan haji beliau sempat menziarah makam Imam Syafie di Mesir bersama Tuan Tabal (Pengarang Kitab Sabla dan Tuan Haji Hassan Besut).

Pada 1820 Tok Pulai Condong membuka Kampung Bilal Talib, Pulai Condong dan membina sebuah surau berhampiran sebatang pokok pulai di kampung itu.Sekembalinya dari Makkah, beliau aktif menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat dengan mendirikan sebuah surau pada 1820 dan dijadikan pusat pengajian sistem pondok. 

Cicit beliau, Mohd Nor Haji Muhamad, 71, berkata surau pertama yang dibina Tok Pulai Condong terletak di Kampung Bilal Talib berhampiran sebatang pokok pulai yang dikatakan condong.

Beliau mendapat gelaran itu sempena membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai.Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung.

Selepas kematiannya, pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arshad.

Beliau juga mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum ia dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang.

“Pada 1856 masjid itu sekali lagi terbakar, kali ini ia dibakar oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Awang Senik dan ia dibina semula dengan kerjasama anak mukimnya.

“Dalam kejadian itu, menara masjid tidak terbakar dan mimbar serta gendang asal masih kekal hingga kini,” katanya.

Mohd Nor berkata, menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung.

Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan.

Keteguhan menara itu teruji apabila negeri dipukul ribut besar pada 1880 menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.

Sumbangan Tok Pulai Condong dalam syiar Islam mendapat perhatian Sultan dan Sultan Muhammad II kemudian melantiknya sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan mengenai Islam. Sumbangannya berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil kepada masyarakat berilmu dan patuh terhadap perintah Allah.

Info

  •            Meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala (berhampiran kubur Siti Khadijah).
  •         Mempunyai empat orang isteri iaitu Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha.
  •        Dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil.
  •       Senarai anak Tok Pulai Condong:  .Abdul Hamid,  Abdul Syukur,  Abdul Aziz,  Umar,  Muhammad Said, Taib,  Siti Mariam,  Muhammad Arsyad,  Abdullah,   Muhammad,  Zainab,  Ummu Maimunah

This free website was made using Yola.

No coding skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola