RENCANA KHAS

 MENARA MASJID TUA PULAI CHONDONG

Menara Masjid Pulai Chondong yang hingga sekarang masih lagi merupakan satu objek kemegahan tempatan telah dibuka oleh Haji Abdul Samad bin Faqeh Haji Abdullah pada tahun 1856  (1273 hijrah).  Menara ini tingginya 57 kaki,  berbentuk lapan segi sekata dan berukuran lilit luar 12 kaki 6 inci.  Di tengah-tengah menara ini didirikan sebarang tiang  (yang tidak bersambung)  sebagai paksi.  Paksi ini juga berbentuk lapan segi sekata,  berukuran lilit di sebelah bawah 43 inci dan di sebelah atasnya 24 inci;  dan dikatakan ditanam di dalam tanah sedalam 28 kaki.

Menara ini dibuat secara gotong royong dengan menggunakan tenaga beratus-ratus orang lelaki.  Perekabentuknya dikatakan Haji Abdul Samad sendiri.  Semua bahagian menara ini diperbuat daripada kayu cengal batu yang hanya menggunakan beliong,  kapak dan pahat sahaja.  Kesan-kesan beliong dan kapak masih lagi kelihatan pada paksi itu.  Kayu untuk paksi dan dindingnya diambil di Bukit China,  iaitu suatu tempat lebih kurang tiga batu dari Pulai Chondong.

Untuk naik ke atas disediakan 23 batang anak tangga yang jaraknya antara satu sama lain purata 1 kaki 8 inci.  Anak-anak tangga yang berbentuk trapizam ini diletakkan hujung-hujungnya kepada paksi dan kepada bahagian luar (dinding) menara itu.   Dengan demikian anak-anak tangga ini juga mengikat dan mengukuhkan kedudukan tegak menara itu.  Tangga ini dibuat berkeliling paksi mengikut arah lawan pusingan jam.

Di bahagian atas menara itu iaitu di tempat bilal mengalunkan azannya diberi perlantaian.  Pintu masuk ke tempat itu ialah sebuah lubang berbentuk seakan-akan separuh bulatan berukuran 1 kaki 9 inci pada bahagiannya yang paling panjang.  Dan lantai ke rasuk tingginya 6 kaki.  Ini bererti orang yang tingginya kurang dari 6 kaki boleh berdiri tegak dengan senang.

Keteguhan menara ini telah teruji apabila Kelantan di pukul Ribut Besar pada tahun 1880  (1297 hijrah).  Semua pokok-pokok yang besar dan kecil di sekitarnya tumbang bergelimpangan tetapi dengan kehendak Allah,  menara ini sedikit pun tidak terjejas oleh tiupan taufan itu.

Pada bulan Disember 1958  menara ini telah dibaiki sedikit;  atapnya diganti baharu,  dindingnya di bahagian bawah sekali dikerat sedikit bagi membolehkan tapaknya di simin dan kedudukannya telah ditegakkan beberapa darjah.

Menara ini masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan hingga sekarang.   Ia merupakan suatu binaan sejarah yang amat penting dan memerlukan perhatian dan perlindungan Arkib Negara Malaysia dengan seberapa segeranya.


Dipetik dari  'RIWAYAT HIDUP HAJI ABDUL SAMAD BIN FAQIH HAJI ABDULLAH  (Tok Pulai Chondong)'                                                  

Susunan  HAJI ABDUL SAMAD BIN MAHMUD,  Generasi Keempat.

  

  Menara Masjid

  Dewan Solat

  Kawasan Masjid

This free website was made using Yola.

No coding skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola