EHWAL TOKOH

RIWAYAT HIDUP HAJI ABDUL SAMAD

Allahyarham Haji Abdul Samad bin Faqeh Haji Abdullah dilahirkan di Kampung Bukit,  Pulai Chondong,  Kelantan kira-kira pada tahun 1792 masehi (1207 hijrah).   Semasa kecilnya Haji Abdul Samad mendapat didikan agama daripada bapanya Faqih Haji Abdullah bin Haji Hashim yang pada ketika itu Iman Mukim Kampung Bukit.  Haji Abdul Samad melanjutkan pelajarannya ke Mekah buat pertama kalinya pada tahun 1808 (1223 hijrah) dan berguru kepada seorang alim yang bernama Haji Muhammad Adham.

Apabila bapanya Faqih Haji Abdullah meninggal dunia,  Haji Abdul Samad menggantikan bapanya menjadi Imam Mukim Kampung Bukit.  Sebagai seorang Imam adalah menjadi kewajipannya mengajar hukum-hukum agama Islam kepada anak mukimnya.  Ini merupakan titik permulaan dalam kehidupannya sebagai seorang guru agama.

Tidak berapa lama kemudian Haji Abdul Samad membuka sebuah kampung dan mendirikan sebuah surau di suatu tempat yang sekarang ini dipanggil Kampung BilalTalib.  Di tepi kampung yang baru diteroka itu,  ada sepohon pokok pulai yang besar dan condong.  Mengambil sempena pokok itu,  tempat yang baru diteroka itu dipanggil Kampung Pulai Chondong.

Kira-kira pada tahun 1840  (1256 hijrah),  Haji Abdul Samad sekali lagi pergi ke Mekah kerana menunaikan fardhu Haji dan menambahkan ilmu pengetahuannya.  Semasa di Mekah Allahyarham dikatakan pernah belajar bersama-sama dengan saudara dan pupunya,  Sheikh Daud Patani.

Diketahui umum bahawa pada pertengahan abad ke sembilan belas pendidikan bercorak keagamaan mendapat sambutan yang baik.  Pemerintahan Sultan Muhammad II yang menurut hukum-hukum Islam,  sistem pemerintahan yang bertambah teratur dan keadaan aman dalam negeri di bawah pemerintahan baginda memberi peluang kepada rakyat menumpukan perhatian yang lebih kepada kehidupan jasmani dan rohani.  Pulai Chondong sebagai sebuah mukim dalam negeri Kelantan tidaklah terkecuali daripada mengalami suasana baik ini.  Perkembangan pelajaran berlaku dengan pesat.  Ramai orang dari jauh dan dekat datang menuntut di pondok Pulai Chondong. 

Pada tahun 1856  (1273 hijrah)  surau yang didirikan oleh Haji Abdul Samad itu dengan takdir Tuhan hangus dijilat api.  Dengan kerjasama anak-anak Mukim Pulai Chondong,  pada tahun itu juga Haji Abdul Samad mendirikan sebuah surau lain di tepi Sungai Pulai Chondong yang jauhnya kira-kira sesuku batu dari surau yang terbakar itu.  Suau yang baru didirikan itu kemudiannya dilengkapkan dengan mimber,  gendang dan menara.

Sungguhpun perjalanan ke Tanah Suci pada masa itu merupakan suatu perkara yang sukar,  tetapi Haji Abdul Samad dikatakan mengunjungi Tanah Suci beberapa kali kerana di sanalah sumber utama pengetahuan agama Islam.   Pada tahun 1861  (1278 hijrah)  Allahyarham sekali lagi menunaikan fardhu Haji bersama-sama anaknya Muhammad Arshad yang baru berumur tiga belas tahun dan menambahkan ilmu pengetahuannya untuk dikembangkan di negeri kita.  Pada kali ini Allahyarham telah mengambil peluang menziarahi kubur Imam Syafie di Mesir bersama-sama  Tuan Tabal  (Pengarang Kitab Sabila) dan Tuan Haji Haasan, Besut.

Haji Abdul Samad dikatakan alim dalam tasauf dan ilmu fiqh.   Allahyarham adalah seorang yang wara’ dan gemar beribadat.  Satu daripada doa-doa yang selalu diamalnya ialah  Hizbul Bahar.  Allahyarham berpegang kepada falsafah hidupnya yang berbunyi ‘Berhamba kepada Allah dengan sebaik-baik hamba’.   Di antara beberapa orang muridnya yang masyhor ialah  Tok Chekeli  (Awang bin Yaakub),  Tok Kedah (Harun bin Daud),  Wan Ali bin Wan Abdul Rahman Kutan  dan Muhamad Arshad bin Haji Abul Samad.

Sekembalinya dari Tanah Suci,  Haji Abdul Samad meneruskan khdimatnya mengembangkan agama Islam dan memimin penduduk-penduduk Pulai Chondong hingga akhir hayatnya.  Tingginya menara Masjid Pulai Chondong itu melambangkan betapa tingginya cita-cita dan hasrat Haji Abdul Samad dalam mengembangkan pelajaran dan syi’ar Islam sehingga Allahyarham dikenali di seluruh negeri Kelantan dengan nama ‘TOK PULAI CHONDONG’.

Haji Abdul Samad meninggal dunia di Mekah pada tahun 1874 (1290 hijrah) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala (berhampiran dengan kubur Siti Khadijah).

Allahyarham mempunyai sembilan orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan.  Empat orang anaknya yang lain meninggal semasa kecil.


Dietik dari  'RIWAYAT HIDUP HAJI ABDUL SAMAD BIN FAQIH HAJI ABDULAH    (Tok Pulai Chondong)'.    Susunan HAJI ABDUL SAMAD BIN MAHMUD. Generasi Keempat. 

This free website was made using Yola.

No coding skills required. Build your website in minutes.

Go to www.yola.com and sign up today!

Make a free website with Yola